Humaira

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Humaira BF

Lilypie Breastfeeding tickers

kevin1

Tuesday, May 11, 2010

Golongan ibu mengeluh tiada ruang susu anak - Harian Metro 11-May-2010

SERDANG: Kementerian Kesihatan sering menerima keluhan golongan ibu yang mengadu mereka tidak disediakan ruang atau waktu fleksibel oleh majikan masing-masing untuk memerah susu badan bagi tujuan menyusu anak mereka.
Timbalan Kementerian Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin, berkata akibatnya ibu terbabit menjadi kurang bersemangat, tertekan hingga menyebabkan mereka gagal menjalankan tanggungjawab untuk menyusu anak dengan susu badan.
Sehubungan itu, beliau meminta majikan terutama syarikat swasta untuk lebih memahami keadaan pekerja mereka yang terdiri daripada golongan ibu dengan menyediakan ruang kondusif bagi memudahkan kakitangan wanita yang mempunyai anak kecil memerah dan menyimpan susu badan.






“Majikan perlu beri sokongan dengan menyediakan ruang sesuai untuk tujuan memerah susu atau sekurang-kurangnya menyediakan sebuah peti sejuk supaya pekerja mereka boleh menyimpan susu yang diperah sebelum dibawa pulang untuk anak masing-masing,” katanya.


“Situasi ketika ini majikan tidak prihatin, tidak beri sokongan, malah ada yang yang tidak beri kelonggaran pun kepada pekerja mereka untuk meluangkan masa bagi tujuan memerah susu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Persidangan Laktasi Susuibu.com Antarabangsa 2010,” di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif Nurturing Concepts Sdn Bhd, Rita Rahayu dan Pengurus Projek Rakan Kaunselor Penyusuan Ibu Malaysia, Nor Kamariah Mohamad Alwi.


Rosnah Shirlin berkata, penyusuan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan sangat penting dalam melahirkan generasi baru yang sihat dan menjalani tumbesaran sempurna.


Selain itu, beliau menyarankan supaya semua pusat beli-belah di negara ini menyediakan kemudahan bilik menyusu bayi dalam menyahut seruan kerajaan bagi menggalakkan dan memberi sokongan padu kepada ibu untuk menyusukan bayi mereka secara eksklusif.


“Kementerian juga melalui klinik kerajaan sering memberi motivasi kepada golongan ibu untuk memberi susu badan kepada bayi mereka dan kami galakkan pakar kesihatan, persatuan dan kumpulan sokongan untuk terus memberi galakan sama,” katanya.


Beliau berkata, usaha itu dipandang serius memandangkan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 40,000 kanak-kanak mati setiap hari akibat kekurangan zat makanan manakala 25 peratus lagi mati sebelum mencapai usia lima tahun di negara membangun.


Katanya, data juga menunjukkan risiko kematian bertambah bagi bayi yang tidak menyusu badan ibu dalam masa tiga hingga empat bulan pertama kelahirannya selain di Barat dan Amerika Syarikat, Sindrom Kematian Bayi Secara Tiba-Tiba (SIDS) berlaku di kalangan bayi yang menyusu botol.


Persidangan Laktasi Susuibu.com Antarabangsa 2010 yang dianjurkan Nurturing Concepts Sdn Bhd pada 5 hingga 7 Oktober depan bakal menggabungkan pakar kesihatan dan penulis penyusuan ibu dari beberapa negara termasuk Kanada dan Australia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman masing-masing dalam usaha menggalakkan penyusuan susu badan di negara ini.

No comments:

Post a Comment